Kampung Kaingaran merupakan sebuah kawasan perkampungan si daerah Ranau yang terletak jauh di pedalaman. Jarak antara Pekan Ranau dan Kampung Kaingaran kira-kira 89km dan mengambil masa selama 2 jam 30minit. Perhubungan jalan raya di kawasan kampung menuju ke Pekan Ranau ialah jalan raya tidak berturap (Gravel). Pada tahun 2008 yang lepas Projek Naik Taraf jalan raya Ranau - Malinsau telah diluluskan. Walaubagaimanapun, projek tersebut tidak berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan mungkin disebabkan dengan bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
![]() |
| Pandangan Atas Kampung Kaingaran |
Pada masa dahulu, Kampung Kaingaran ini termasuk dalam daerah Beluran kerana ia berada dalam kawasan Beluran. Maka segala urusan rasmi akan berhubung dengan Pegawai Daerah Beluran. Tetapi memandangkan Pekan Beluran agak jauh dari kawasan Kampung Kaingaran, maka pusat perhubungan telah dipindahkan ke Pekan Ranau.
Penduduk Kampung Kaingaran ini terdiri daripada 3 suku kaum yang utama iaitu Orang Sungai, Dusun Telantang (Bukit) dan Dusun Tinagas. Orang-orang sungai di Kampung Kaingaran menganut agama islam manakala orang-orang dusun pula menganut agama Kristian. Namun, kesan daripada perkahwinan campur terdapat sebilangan orang dusung memeluk agama islam. Orang-orang sungai ini dipimpin oleh Panglima Odon yang berasal dari Kampung Likabau, Beliau merupakan seorang pemimpin yang sangat disegani dan disayangi. Kawsan jajahan takluk beliau pada masa itu dari Kampung Merungin sehinggalah ke Kampung Likabau yang merangkumi berpuluh-puluh kampung.
Kawasan perkampungan utama Orang Sungai pada masa dahulu ialah Kampung Kotog, Kampung Meridi dan Kampung Merudau. Nama Kampung Kotog diambil daripada nama sebatang sungai kecil yang mengalir di kawasan itu. Manakala nama Kampung Meridi pula diambil daripada sebuah kawasan sungai yang berpusar dan dipercaya berpenunggu. Pada mulanya ia dikenali sebagai "rurumidi" yang bermaksud boleh/pandai mendidih (Seperti air panas yang mendidih). Ada masa-masa tertentu sungai itu akan memuntahkan buih seperti air yang sedang mendidih. Menurut cerita orang tua-tua sungai di kawasan ini pernah mendidih sehingga menjadi keruh dan memuntahkan "lugu" iaitu kayu yang sangat besar yang selama ini terpendam di dasar sungai.Terdapat juga cerita yang mengisahkan bahawa dasar sungai di kawasan itu pernah mengeluarkan cahaya.
